TAPAK PELUPUSAN SISA SANITARI TERMODEN DI MALAYSIA

Tat Chee (tengah) bersama pegawai Alam Flora dan MPT ketika mengadakan lawatan kerja ke Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Belenggu Halt, semalam.

TEMERLOH – Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Belenggu Halt di sini berkeluasan 40 hektar yang mula beroperasi pertengahan tahun ini adalah antara yang termoden di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebersihan dan Alam Sekitar Majlis Perbandaran Temerloh, Datuk Wong Tat Chee berkata, tapak pelupusan baharu itu siap dibina pada 2015 adalah yang terbaik milik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi negeri Pahang.

Menurutnya, tapak pelupusan itu mula menerima sisa pertama pada Jun lalu kini dijalankan secara manual sebelum operasi sepenuhnya dijalankan secara automatik tidak lama lagi dengan jangka hayat kegunaan tapak itu sehingga 20 tahun.

“Tapak ini mempunyai kemudahan loji rawatan air resapan (LTP) yang mampu menampung 200m3 sehari.

“Air yang dirawat dari loji ini mampu digunakan semula untuk basuh tayar trak sampah kerana ia mematuhi Peraturan Kualiti Air Alam Sekitar 1974,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersama rombongan pegawai Alam Flora dan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) yang mengadakan lawatan ke tapak pelupusan itu di sini semalam.

Tat Chee berkata, tapak itu turut dilengkapi fasiliti Pemulihan Semula Sisa Pepejal (MRF) yang merangkumi tiga bahagian utama iaitu kawasan pembuangan sisa, platform muatan sisa pepejal dan platform pengasingan dilengkapi dengan tali sawat.

Beliau berkata, MRF berfungsi mengasingkan plastik, kertas, besi dan tin bertujuan meningkatkan kadar kitar semula dan meminimumkan sisa pepejal yang dihantar ke pusat pelupusan.

Katanya, dengan bermulanya operasi pusat pelupusan sanitari itu membuktikan tapak sedia ada digunakan untuk melupuskan sisa pepejal dari isi rumah di daerah Temerloh dan bukannya untuk tujuan melupuskan sisa radioaktif seperti dinyatakan pembangkang beberapa tahun lalu.

sumber : sinar harian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*