Selepas Kalah Teruk, Jentera Dan Penyokong PH Bertumbuk Sesama Sendiri

RANTAU – Pertengkaran tercetus di bilik gerakan utama Pakatan Harapan sehingga melibatkan kekasaran fizikal di antara jentera parti itu pada Sabtu. Pergaduhan itu difahamkan terjadi selepas media melaporkan keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau yang memihak kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan, menurut laporan portal berita Malaysiakini. Difahamkan situasi tegang itu berlaku apabila ahli PKR dari Kuala Lumpur menyalahkan ahli parti dari kalangan penduduk tempatan susulan keputusan yang tidak memihak kepada calon mereka, Dr S Streram. Berdasarkan video yang dimuat naik Malaysiakini, berlaku adegan jerit-menjerit menggunakan kata-kata kesat selain beberapa orang dilihat mula tolak-menolak sesama mereka. Tidak lama selepas itu, situasi bertukar menjadi semakin ganas di mana beberapa orang dilihat mula bertumbuk. Seorang wartawan yang berada di tempat kejadian dikatakan dipaksa berhenti merakam pergaduhan tersebut dan seterusnya telefon bimbitnya dirampas oleh seorang individu yang berada di situ. Difahamkan bahawa pihak polis ketika ini berada di tempat kejadian dan ketika insiden itu berlaku, keputusan rasmi PRK Rantau belum diumumkan lagi.

Selepas PH Kalah Di Rantau, Anwar Ibrahim Beri Sepatah Dua Kata Untuk Pemimpin PH

Biarpun menerima kekalahan pilihan raya kecil (PRK) Rantau, Presiden PKR Anwar Ibrahim yakin PH akan kembali bangkit untuk mendapat sokongan rakyat selepas ini. Katanya, PH perlu menjadikan kekalahan tersebut sebagai suatu peringatan agar lebih mendengar kebimbangan yang dirasai oleh rakyat. “Kekalahan ini merupakan peringatan kepada pimpinan PH untuk terus memberi perhatian yang sewajarnya terhadap kebimbangan rakyat berhubung isu ekonomi dan kos sara hidup,” katanya dalam hantaran di Facebooknya. Katanya, keputusan PRK Rantau yang diumumkan malam ini merupakan keputusan daripada rakyat yang harus dihormati. “PH dan PKR menghormati keputusan tersebut dan mengucapkan tahniah kepada (calon BN) Mohamad Hasan. “[…] Terima kasih juga kepada jentera PKR serta parti komponen PH yang lain kerana berjaya menunjukkan kematangan dan contoh baik ketika sesi kempen,” tambahnya lagi. Pada jam 8.45 malam tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan calon BN Mohamad Hasan menang secara rasmi dengan memperoleh 10,379 undi, mengalahkan calon PH Dr S Streram dengan 5,887 undi. Sementara itu, calon bebas R Malar dan Mohd Nor Yassin masing-masing menerima 83 dan 79 undi. Daripada 20,926 pengundi berdaftar, DUN Rantau mempunyai 55.51 peratus atau 11,615 pengundi Melayu, Cina (18.46 peratus atau 3,863), India (26 peratus atau 5,441) dan lain-lain (0.03 peratus atau tujuh). PRK DUN Rantau adalah PRK ketujuh selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt), Parlimen Cameron Highlands (26 Jan) serta DUN Semenyih (2 Mac). SPR turut memaklumkan PRK Rantau mencatatkan 79.3 peratus keluar mengundi, sementara undi rosak pula sebanyak 146 undi. Sumber mkini via awattt syeikh

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*