Rafizi Ramli Dedahkan 4 Sebab Kenapa Dia Masuk Bertanding

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli hari memberikan empat sebab beliau mencalonkan diri bertanding merebut jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti akhir bulan depan.

Antaranya kerana menyokong Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri kelapan, sekali gus memperkukuhkan parti menerusi pembentukan barisan kepemimpinan yang senada dengan pucuk pimpinan.

“Anwar akan menjadi Perdana Menteri kelapan selepas ini, bermakna beliau memerlukan satu pasukan kepemimpinan yang 100 peratus bersama beliau.

“Saya bukan taksub kepada Anwar tetapi jika beliau menjadi Perdana Menteri, beliau perlu mendapat mandat penuh barisan kepemimpinan parti.

“Kita tidak mahu ada kepemimpinan yang setuju di depan tetapi di belakang cakap lain,” katanya ketika berucap pada majlis memperkenalkan barisan calon yang akan bertanding pada pemilihan PKR kali ini, di sini, hari ini.

Bagi sebab kedua, Rafizi berkata, PKR perlu berazam untuk membantu Pakatan Harapan (PH) menguasai baki negeri yang gagal dikuasai iaitu Perlis, Pahang, Terengganu, Kelantan termasuk Sarawak pada Pilihan Raya Negeri 2020.

Katanya, sebagai parti memiliki kerusi terbesar dalam PH, PKR tidak boleh berasa selesa, sebaliknya perlu meneruskan agenda reformasi yang diperjuangkan parti.

“Jika kita terus dengan cara kerja kita seperti sebelum menjadi kerajaan, saya yakin PKR boleh menang 70 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya.

Bagi sebab ketiga, Rafizi menegaskan beliau mahu PKR bebas dan menolak budaya ‘salam cium tangan’ dan feudal serta budaya orang bawah tidak boleh menegur orang atas.

“Itu bukan budaya kita. Kita parti reformasi kena berani tegur orang atas. Kalau ada yang bawa budaya feudal dan wang serta tawar jawatan dalam parti, kita lawan habis-habisan,” katanya.

Kata Rafizi, sebab keempat beliau bertanding adalah bagi membantu ahli akar umbi terutama memperkasa ekonomi mereka dengan bercadang menubuhkan koperasi anggota PKR.

“Kita boleh tubuhkan koperasi anggota PKR. Jika kita ada sejuta ahli, dalam setahun kita ada modal berbayar RM50 juta dan boleh mewujudkan banyak aktiviti ekonomi untuk cipta peluang pekerjaan kepada anak reformis.

“Kita akan minta Anwar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail wujudkan koperasi. Nanti boleh beri skim kredit mikro kepada ahli tanpa perlu bergantung kepada kerajaan,” katanya.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli (tengah) bersama barisan calon majlis pimpinan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Hotel De Palma ketika pengumuman keputusan bertanding pimpinan tertinggi Timbalan Presiden Keadilan SUMBER : BHARIAN

Youtube Kredit: Free Malaysia Today

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*