Presiden Skuad Badar ditahan. Ini yang berlaku

Presiden Skuad Badar Azhar Mohamad ditahan pihak berkuasa semalam bagi membantu siasatan berhubung pelanggaran Akta Pertubuhan dan Akta Rahsia Rasmi.

Beliau ditahan bersama seorang lagi ahli NGO itu yang berusia 30-an, di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kuala Muda.

Menurut laporan Harian Metro, penahan itu mengakibatkan Azhar, 46 direman selama empat hari bagi tujuan siasatan.

Difahamkan penahanan kedua-dua mereka dipercayai susulan laporan yang dibuat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) terhadap Azhar seperti yang tular di laman sosial.

Azhar dikatakan ditahan kerana melakukan aktiviti penguatkuasaan tanpa kebenaran JHEAIK dan skuad itu tidak pernah dilantik menjadi penguat kuasa agama yang sah.

Selain itu menurut laporan JAHEAIK, skuad itu tidak pernah diberikan tauliah ataupun dibenarkan memasuki premis tanpa kebenaran dan waran geledah.

Penahanan pengasas NGO itu disahkan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, namun beliau enggan mengulas lanjut.

Skuad Badar terkenal dengan sesi tarbiahnya terhadap pasangan ditangkap khalwat yang dijalankan di atas kubur.

Kami tidak langgar undang-undang – Skuad Badar

SUNGAI PETANI: Skuad Badar mendakwa kumpulan berkenaan tidak melanggar undang-undang dalam menjalankan kegiatan mencegah kemungkaran dalam kalangan umat Islam.

Pengasasnya, Azhar Mohamad, berkata sejak dua tahun menjalankan kegiatan seperti menahan pasangan berkhalwat, pihaknya tidak pernah dipanggil atau ditahan pihak berkuasa.

“Skuad Badar diwujudkan untuk memelihara anak bangsa yang semakin hari semakin mencabar. Kami bertindak bukan melanggar undang-undang tetapi atas dasar manusia.

“Kalau kami langgar undang-undang sudah tentu ada laporan dibuat dan kami sudah lama ditahan polis. Malah setiap operasi yang dijalankan kami hebahkan di Facebook,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Latheefa Koya, dalam kenyataannya hari ini, mendakwa pertubuhan itu melanggar undang-undang dan mendesak campur tangan pihak berkuasa bagi memastikan aktiviti mereka dihentikan.

Latheefa mendakwa, ahli Skuad Badar menyamar menjadi pihak berkuasa ketika melakukan pemeriksaan di hotel selain mendakwa mendapat keizinan pihak pengurusan masjid bagi mengganggu kehidupan peribadi individu.

Azhar berkata, beliau sedia berjumpa mana-mana pihak termasuk Latheefa sendiri bagi membincangkan isu berkenaan.

“Saya terkilan dan kecewa…saya lakukan ini demi agama dan bangsa. Tetapi ada kalangan yang beragama Islam mempertikaikan kegiatan mencegah kemungkaran ini.

“Mereka hanya tahu menulis, meluahkan perasaan di media. Mereka sanggup tengok anak bangsa mereka berzina. Kami lakukan untuk menegakkan syiar Islam, demi agama…bukan kerana wang ringgit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Abd Rahim Jaafar, berkata pihaknya sentiasa memantau kegiatan yang dijalankan kumpulan berkenaan.

“Setakat ini kita tidak menerima apa-apa laporan daripada mana-mana pihak atau individu yang didakwa menjadi mangsa kumpulan ini. Jika ada kita akan ambil tindakan,” katanya ketika dihubungi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh, berkata beliau sudah menetapkan Ahad ini bagi pertemuan bersama ahli Skuad Badar.

“Kehadiran mereka dialu-alukan, malah saya tidak menghalang mereka. Tetapi datanglah pada jam 2.30 petang di pejabat saya kerana saya mempunyai urusan di Sik pada sebelah pagi.

“Bagaimanapun, kumpulan ini enggan memberi kerjasama dan tetap mahu mengadakan himpunan pada jam 9 pagi. Janganlah nanti kerana tidak mahu terima cadangan saya, apabila mereka datang timbul pula isu kononnya EXCO tiada,” katanya pada sidang media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Sebuah kumpulan sukarelawan cegah maksiat beroperasi di Sungai Petani, Kedah sejak dua tahun lalu, mendakwa mereka membantu pihak berkuasa agama negeri menjaga moral Muslim daripada berdosa. Mereka yang dicekup berkhalwat akan dibawa ke tanah perkuburan dekat sebuah masjid untuk ditarbiahkan.

sumber: bharian, mkini

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*