Pemandu teksi meremang wang bertukar daun, penumpang lesap di kawasan kubr

KALI ini aku merungkai dan menyingkap cerita-cerita misteri pemandu teksi.

Bagi mereka, pekerjaan ini tiada batas waktu. Tanpa mengira keadaan cuaca atau masa, teksi yang dipandu harus membawa penumpang. Kerana inilah sumber pendapatan mereka.

Sesi temubual untuk program kali ni bersama brader-brader teksi iaitu Badrul Hisyam, Azmi Hashim dan Zabidi. Sementara menunggu rakaman, aku pun berborak dengan dia orang kat khemah produksi.

Dah memang jadi perangai aku, seronok mendengar pengalaman-pengalaman misteri dan mistik orang lain. Ada yang seram, ngeri dan paling best lawak pun ada.

“Bang Bad, cerita la sikit pasal kejadian duit bertukar jadi daun tu. Betul ke daun yang abang dapat?” Aku cuba korek cerita Abang Badrul sambil menuang kopi ke dalam gelas.

Lepas menghirup kopi panas dalam gelas, Abang Bad balas persoalan aku.

“Betul Mie. Bukan main-main. Masa tu memang dah nak balik pun. Kalau nak ambil penumpang yang menghala ke arah lain nanti bila balik kena pusing jauh. Kebetulan abang lalu kat tempat yang orang kawasan Klang panggil Selekoh Kapal Layar tu, ada dua orang tahan teksi abang. Seorang lelaki dan seorang perempuan,” Abang Badrul bercerita bersungguh-sungguh.

Badrul melalui pelbagai kejadian aneh sebagai seorang pemandu teksi di Klang, Selangor.

“Mereka ni nak kata pasangan suami-isteri, entahlah. Rupa seperti pasangan kekasih pun ada juga. Pakaian dia orang ni macam orang muda umur pertengahan 20-an. Keadaan pakaian mereka tu pulak macam lembab basah dan ada tompok-tompok tanah yang tak ketara,” sambil Abang Bad menunjukkan tempat-tempat yang dia nampak bekas tompok tanah di pakaiannya. Abang Azmi dan Zabidi mendengar dengan tekun.

“Bila ditanya nak ke mana, dia orang kata baru lepas kena samun. Motosikal dan barangan lain dah kena curi.

“Abang pun pandang la sekeliling. Terfikir juga macam mana boleh kena samun kat jalan tengah malam buta ni? Tanpa fikir panjang, dengan niat nak membantu, abang pun suruhlah mereka masuk ke dalam teksi dan mula memandu,” katanya.

Kata Abang Bad, dia tak fikir apa-apa masa tu kerana niat hatinya hendak membantu.

Setelah sampai ke sebuah lokasi lelaki berkenaan minta berhenti sebaik tiba di lampu isyarat.

Dah la tu Mie, abang rasa tak sedap hati ni. Jom la kita gerak

Apabila teksi berhenti lelaki tersebut hulurkan RM20 iaitu masing-masing dua keping duit RM10 sambil menyatakan itu sahaja duit yang tinggal.

Kata Abang Bad, dia cuba menolak jumlah itu sebaliknya hanya mengambil RM10 saja.

“Ketika duit kat tangan abang, mereka berdua terus turun dari teksi. Kemudian abang simpan duit tu kat dalam beg pinggang yang dipakai. Abang asingkan kutipan hasil teksi dan belanja harian supaya boleh dikira hasilnya nanti.

“Bila toleh belakang nak ucap terima kasih tiba-tiba pasangan itu dah lesap entah ke mana. Lalu abang teruskan pemanduan dan ketika itu baru nampak di hadapan abang Bad ialah kawasan tanah perkuburan. Masa tu jugalah meremang rasa kat tengkuk,” katanya.

Tambah dia, apabila apabila sampai di rumah dia mula mengira wang hasil membawa teksi dan amat mengejutkan terdapat dua helaian daun kering.

Abang Bad mula berasa pelik. Mana datangnya daun-daun itu? Bila diingatkan semula perihal duit sepuluh ringgit dua keping tadi, abang Bad pun buat kiraan semula dan mencari wang kertas tersebut.

Yang ada hanyalah RM50, RM5 dan RM1 sahaja dan tak ada not RM10 dua keping. Memang sah!! Itulah dua keping not RM10 yang diberi penumpang misteri tersebut akhirnya menjadi daun.

Rakaman kamera infra merah di Selekoh Kapal Layar yang mana di sinilah Badrul mengambil pasangan yang mendakwa disamun.

Ketika sedang rancak berborak, Apai, penerbit Detik 12 Malam muncul untuk terangkan tentang tugasan yang bakal aku lakukan.

Kali ini aku perlu bersama Abang Bad menemaninya membawa teksi bagi mencari penumpang waktu malam.

Ketika itu jam menunjukkan 1.15 pagi.

Setelah kru teknikal selesai memasang kamera di dalam teksi dan segala peralatan siap diperiksa aku pun masuk ke dalam teksi yang akan dipandu Abang Bad. Kemas teksi miliknya. Bau harum lavender daripada pewangi kereta menerpa deria aku.

Tanpa berlengah Abang Bad mula memandu. Apai dan kru tinggal di pengkalan tempat team produksi berkumpul.

Abang Bad membawa teksi ke Jeti. Setelah lima minit pemanduan, teksi berhenti di tempat mengambil penumpang. Keadaan lengang.

Dengan menggunakan video kamera yg dibawa aku merakam sekitar kawasan jeti secara rambang. Tiada langsung aktiviti. Senyap. Lalu pula seekor kucing berwarna putih melangkah longlai. Mungkin tikus tak keluar hinggakan kucing pun malas berjalan.

Kami pun pergi ke tempat lain. Suasana malam agak sunyi dengan kurangnya kenderaan di atas jalan. Aku berborak ringkas dengan Abang Bad sambil merakam visual sekeliling. Tiba-tiba Abang Bad bersuara.

“Apa kata kita pergi ke Selekoh Kapal Layar tu? Tak jauh dah dari sini,” Abang Bad beri cadangan.

“OK, boleh,” aku jawab ringkas.

Sampai saja di situ, Abang Bad memberhentikan teksi di bahu jalan. Replika arca kapal layar yang terletak di kepala simpang itu menjadikan persimpangan itu diberikan gelaran Selekoh Kapal Layar.

Tiada lampu jalan di kawasan tu. Terdapat rumpun belukar di bawah pepohon akasia yang merimbun menjadikan kawasan itu gelap gelita. Aku cuba mendapatkan sebarang pergerakan atau visual dari rakaman kamera video namun tiada apa.

Saiful Azmi Jamsari melalui macam-macam pengalaman sebagai hos rancangan mistik.

Jika diimbas kembali cerita Abang Bad tentang sepasang pelanggan yang diambil daripada lokasi ini, mana logik mereka boleh kena samun di sini kerana ia kawasan gelap.

Aku mengajak Abang Bad turun bagi meninjau keadaan persekitaran tetapi ditolak.

“Dah la tu Mie, abang rasa tak sedap hati ni. Jom la kita gerak,” ujar Abang Bad.

Kami bergerak meninggalkan tempat itu. Dapat aku rasakan Abang Bad berasa gerun untuk berada di kawasan itu lebih lama lagi. Dalam perjalanan dia masih menyimpan dua keping wang kertas bertukar daun itu.

Teksi yang dipandu kemudian melewati kawasan kilang industri. Tiba di satu simpang Abang Bad berhenti. Papan tanda menunjukkan nama jalan itu adalah Jalan Perkuburan.

Setelah lebih kurang 600 meter memandu ke dalam, kami pun tiba di kawasan perkuburan yang berpagar. Terdapat satu lampu jalan di hadapan papan tanda tanah perkuburan itu. Suram dan menyeramkan. Hanya barisan nisan kaku menghiasi pemandangan.

Bunyi enjin teksi memecah keheningan. Baru aku sedar, Abang Bad tidak pernah mematikan enjin walau berhenti di mana pun. Takut mungkin. Kalaulah ada jasad berbungkus duduk di tempat duduk penumpang belakang, memang teksi kena tinggal agaknya. Buka langkah seribu.

“Abang pernah hantar seorang penumpang kat kawasan ni Mie. Tak sempat ambil duit pun. Dia tiba-tiba hilang,” ujarnya ringkas.

“Abang Bad, kalau ada orang tahan teksi kat sini macamana bang?” soal aku.

“Rasanya saya takkan berhenti kot” cepat je Abang Bad balas.

“Kalau saya pun tak akan berhenti. Daripada apa-apa berlaku baik kita cabut dulu la bang. Saya tak nak tanggung apa-apa risiko,” tegas aku lalu teksi dipandu Abang Bad pulang ke tempat pengumpulan kami.

Yang pastinya, sepanjang tugasan kali ni aku dapati banyak perkara misteri berlaku secara tidak langsung.

Jika dikaji setiap kejadian yang dialami pemandu teksi pada waktu malam pasti mengundang seribu persoalan. Tetapi yang pasti pengalaman itu seringkali dirahsiakan jika tiada siapa yang berani merungkai.

***Penulis ialah hos Detik 12 Malam yang pernah disiarkan di TV3

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*