Para Ibu Berhati Hatilah, Lagi Kes Cacing Dalam Sardin Direkodkan. Jenama Ini Menjadi Pilihan Ramai

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) telah menahan dua kontena berisi sardin dalam tin yang mengandungi cacing pada 14 Mei lalu.

Maqis dalam satu kenyataan berkata, sardin dalam tin jenama Ranesa itu dibawa masuk dari China melalui pintu masuk North Butterworth Container Terminal (NBCT) Pulau Pinang dengan anggaran berat 36,720 kilogram dan bernilai RM199,797.24.

Katanya, hasil pemeriksaan fizikal dan persampelan ke atas beberapa sampel tin sardin membawa kepada penemuan bendasing iaitu cacing.

“Cacing tersebut kemungkinan daripada Genus Anisakis spp yang boleh menyebabkan penyakit anisakiasis pada manusia.

Anisakiasis adalah penyakit parasit dan zoonotik bawaan ikan yang disebabkan oleh nematode Anisakis spp (cacing) yang menyerang sistem gastrointestinal (seperti perut dan usus) manusia dan boleh menyebabkan masalah atau simptom gastrointestinal seperti sakit perut, cirit-birit, loya dan muntah.

“Penyakit ini biasanya berlaku apabila manusia memakan makanan laut seperti ikan yang mentah atau tidak dimasak sepenuhnya yang dijangkiti parasit Anisakis spp,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, perbuatan mengimport melalui pintu masuk apa-apa tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih atau mikroorganisma dengan perosak, penyakit atau bahan cemar merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

“Kes ini disiasat untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Katanya, sebarang pengimportan ikan sardin perlu mendapatkan permit import dari Maqis.

“Walaupun permit import diberikan, pengimport perlulah mematuhi bahawa ikan sardin yang diimport mestilah bersih dan selamat dimakan oleh rakyat Malaysia,” katanya.

Maqis juga akan terus menjalankan pemeriksaan ke atas produk ikan sardin dan mackerel dalam tin yang diimport di seluruh pintu masuk negara bagi memastikan isu seperti ini tidak akan berulang.

“Perkara ini amat penting bagi memastikan sebarang produk ikan seperti ikan sardin yang diimport ke negara kita sentiasa selamat, bersih dan tidak cemar dengan bendasing seperti cacing,” kata kenyataan itu.

Sumber : Sinar Harian

Kenyataan Akhbar KPK 27 Jun 2018 – Perkembangan Terkini Isu Cacing Mati Ditemui Dalam Produk Ikan Dalam Tin

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan perkembangan terkini tentang laporan yang tular di laman media sosial berkaitan cacing mati yang ditemui dalam produk sardin dalam tin.

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang menjalankan pemantauan ke atas produk ikan dalam tin (sardin dan mackerel) yang diimport serta di pasaran tempatan. Selain daripada 2 jenama produk ikan sardin yang telah dikesan mengandungi bendasing iaitu cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp. sebelum ini iaitu TL Tan Lung dan TLC, hasil pemantauan terkini mendapati produk ikan sardin jenama Cinta, Sea Fresh dan HS Brand juga mengandungi cacing FilumNematoda daripada genus Anisakis spp..

WhatsApp Image 2018-04-19 at 4.58.54 PM

cheap-155g-canned-sardine-in-tomato-sauce

Di samping itu, produk ikan mackerel dalam sos tomato jenama King Cup, Bintang dan TC Boy didapati mengandungi bendasing iaitu cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp.

Sehubungan itu, KKM telah mengambil tindakan penguatkuasaan di mana syarikat terlibat telah diarah menarik balik produk tersebut dari pasaran.

KKM juga telah mengenakan tindakan Tahan, Uji dan Lepas terhadap pengimportan produk ikan dalam tin di semua pintu masuk negara. Tahan, Uji dan Lepas  merupakan tindakan di mana sampel akan diambil untuk analisis dan produk tersebut hanya akan dilepaskan sekiranya keputusan analisis menunjukkan tiada pelanggaran dikesan iaitu dalam hal ini, cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp.. Manakala bagi produk ikan dalam tin keluaran tempatan, verifikasi di semua kilang pengeluaran dijalankan oleh KKM.

Bagi produk ikan dalam tin, risiko kepada kesihatan adalah amat rendah kerana cacing tersebut telah mati disebabkan proses memasak atau pengetinan.

Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukan mana-mana pihak yang terlibat di dalam mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya yang memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah/Kawasan/Bahagian yang terdekat atau hubungi KKM melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq jika terdapat sebarang aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA 

 

27 Jun 2018

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*