MPV POLIS DIPERIKSA, INI RESPON TERKINI PEMANGKU KETUA POLIS N9 DAN APA SEBENARNYA ADA DALAM MPV TERSEBUT

SEREMBAN: “Kami sangat kecewa dengan perbuatan itu seolah-olah mereka lebih berkuasa daripada polis,” kata Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop. Beliau mengulas tindakan lima penyokong sebuah parti politik yang memeriksa kereta peronda polis (MPV) pada hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, di sini, semalam. Katanya, perbuatan itu adalah yang pertama kali berlaku dalam negara apabila orang awam bertindak memeriksa kenderaan polis. “Mereka sangat melampau, mencabar tugas kami dan memalukan. Tuduhan kami membawa lebihan kertas undi tidak betul kerana polis sangat profesional,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini, hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah daerah, Deputi Superintendan Ahmad Jamaluddin. Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu katanya, dua anggota MPV mengikuti sebuah kenderaan lain membawa kertas undi ke pusat penjumlahan di sekolah terbabit. Beliau berkata, MPV itu tidak memasuki kawasan sekolah sebaliknya berhenti di luar pagar bagi mengawal keadaan lalu lintas dan keselamatan. “Kemudian datang lima lelaki mendakwa anggota kami membawa lebihan kertas undi. Apa hak mereka untuk memeriksa MPV polis kerana mereka orang awam,” katanya. Katanya, dua anggotanya sepatutnya tidak membenarkan pemeriksaan namun bagi mengelak berlaku kekecohan mereka membenarkan. “Apabila bonet kereta dibuka, hanya peti ubat dan peralatan keselamatan sahaja yang ada. Kami harap tindakan itu memuaskan hati mereka,” katanya. Beliau berkata, anggotanya terpaksa berbuat demikian bagi mengelak kejadian kereta polis diterbalikkan seperti berlaku di Dataran Merdeka, di ibu negara sebelum ini. “Saya tegaskan polis hanya mengiringi kenderaan lain, bukan membawa lebihan kertas undi. Polis juga tidak dapat melakukan tangkapan kerana jumlah penyokong mereka begitu ramai,” katanya. Mohamad berkata anggota yang terbabit sudah membuat laporan polis hari ini dan polis sudah mengenal pasti lima lelaki berusia 30 hingga 50 tahun dan akan mengambil tindakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan. Katanya, polis sangat profesional biarpun banyak tuduhan dilemparkan termasuk dikatakan bersubahat. “Polis ikut undang-undang, kawal keselamatan dan raikan demokrasi bersih. Lihatlah PRK kali ini, jumlah peratusan keluar mengundi tertinggi iaitu 79.3 peratus berbanding enam PRK yang lain,” katanya.

Polis buru lima lelaki tahan, periksa kereta polis

tahan polis SEREMBAN – Polis sedang memburu lima lelaki dipercayai penyokong Pakatan Harapan (PH) yang bertindak menahan dan memeriksa kereta peronda (MPV) polis di hadapan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua di Rantau, Rembau semalam. Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, polis telah mengenal pasti lima lelaki terbabit berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial serta laporan yang dibuat oleh anggota polis terlibat. “Kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang semasa dua anggota polis masing-masing berpangkat sarjan dan koperal melakukan tugas membantu kawalan lalu lintas dan mahu mengiringi kertas undi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau. “Semasa berada di tempat kejadian kenderaan MPV polis dinaiki mereka didatangi oleh lima lelaki yang meminta supaya membuka but kerana disyaki membawa kertas lebihan undi. “Anggota polis terlibat bersetuju untuk membuka bonet kerana tidak mahu menimbulkan sebarang kekecohan dan dalam keadaan terpaksa telah membuka bonet bagi memuaskan hati mereka,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dekat sini hari ini. Mohamad berkata, kelima-lima lelaki itu kemudian mendapati tiada sebarang kertas lebihan undi dalam bonet MPV polis tersebut dan memohon maaf kepada anggota polis terlibat. Menurutnya, beliau berasa kesal dengan insiden berkenaan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. “Pihak polis bukan sengaja tidak bertindak keatas mereka ketika kejadian, tetapi kami tidak mahu keadaan menjadi kecoh kerana ketika itu mereka ramai,” katanya. Sumber Kosmo

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*