Jemaah Masjid Mendedahkan Sindiket Penipuan Masuk Islam Dan Ini Arahan Majlis Agama Islam, Isu Ini Perlu Dipandang Serius

SHAH ALAM – Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat diarahkan untuk mengambil tindakan segera susulan penularan semula gambar sindiket peluk Islam bagi mendapatkan wang kutipan derma jemaah masjid di laman sosial baru-baru ini.

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam satu kenyataan memberitahu, arahan itu dikeluarkan pihaknya memandangkan insiden sebenar gambar yang tular berlaku di daerah terbabit.

“Semua surau dan masjid di daerah Hulu Langat sudah dimaklumkan untuk lebih berwaspada dengan kejadian sedemikian.

“Walaupun gambar tersebut telah tular pada 2012, MAIS tetap menjalankan siasatan termasuk perlu memberi penjelasan sebenar supaya tiada pihak yang terpedaya,” katanya.

Terdahulu, tular kembali gambar yang memaparkan satu keluarga terlibat dalam sindiket penipuan memeluk Islam bagi mendapatkan wang kutipan derma jemaah masjid.

Turut disenaraikan lima masjid yang menjadi lokasi keluarga itu melafazkan syahadah antaranya di Bandar Baru Bangi serta Salak Tinggi pada tahun 2012 dan 2013.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, MAIS memberitahu, prosedur operasi standard (SOP) pengislaman di masjid-masjid dan surau-surau di Selangor turut ditambah baik di mana proses mualaf yang diislamkan di masjid-masjid dan surau-surau hendaklah didaftarkan terus di pejabat agama Islam daerah yang berdekatan.

“Bahagian Pendaftaran Mualaf MAIS turut mengadakan ‘road show’ ke masjid-masjid dan surau-surau bagi memberi penjelasan mengenai penambahbaikan proses pengislaman dan pendaftaran pengislaman mualaf di Selangor bermula tahun 2013 hingga kini.

“Penambahbaikan dan jaringan kerjasama yang baik dengan pihak tertentu seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Islamic Outreach Selangor dan Multiracial Reverted Muslim (MRM) juga diadakan bagi memperkemas pengurusan pengislaman di Selangor supaya kes-kes seumpama ini tidak berulang pada masa akan datang,” katanya.

Orang awam khususnya di Selangor disarankan untuk merujuk ke laman sesawang Mais di www.mais.gov.my bagi mendapatkan informasi terkini berkenaan proses pengislaman, senarai pusat pendaftaran pengislaman yang diperakui oleh MAIS atau menghubungi Bahagian Pendaftaran Mualaf Mais di talian 03-3361 4000.

Sindiket penipuan masuk Islam, ini pendedahan jemaah masjid…

SHAH ALAM – Sindiket penipuan memeluk Islam oleh satu keluarga sebagai jalan singkat untuk mendapatkan wang hasil kutipan derma jemaah masjid yang tular di media sosial disahkan benar-benar berlaku, tetapi sekitar lima atau enam tahun lalu.

Jemaah Masjid Al-Istiqamah, Ramli Puteh berkata, sejak tular poster berkenaan kegiatan penipuan oleh keluarga terbabit menerusi aplikasi WhatsApp, dia turut menerima beberapa panggilan meminta pengesahan mengenai kes itu sejak semalam.

“Perkara itu cerita lama, kes berkenaan memang berlaku tetapi sekitar lima atau enam tahun lepas, mungkin ada pihak lain yang tularkan semula kes itu. Cuba tanya kepada pihak yang tularkan kes ini bila kejadian itu berlaku,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mengulas kegiatan penipuan itu, Ramli yang waktu itu memegang jawatan Timbalan Nazir di masjid berkenaan, bersama jemaah lain telah didatangi satu keluarga antara empat ke lima individu yang mendakwa mahu memeluk Islam sebelum mengaturkan sesi mengucap dua kalimah syahadah.

“Waktu itu mereka agak kelam kabut dan mendakwa perlu lari ke Kelantan secepat mungkin sebab terima ancaman daripada bapa mereka, yang mereka dakwa mahu menculik mereka sekeluarga. Mungkin rekaan mereka saja untuk meraih simpati para jemaah dalam situasi itu.

“Kemudian lepas angkat kalimah syahadah, mereka pun segera ambil kutipan derma jemaah dan terus beredar, macam mengejut nak pergi ke Kelantan.

“Jadi kita pun ingat dakwaan mereka itu betul, kita pun sungguh-sungguh cuba membantu mana yang mampu tapi lepas dua, tiga hari ada orang bagitahu mereka turut melakukan modus operandi sama di salah sebuah masjid di Kajang dan beberapa lokasi lain,” katanya.

Mengulas lanjut, Ramli berkata pihak Masjid Al-Istiqamah susulan kejadian itu tidak membuat laporan polis memandangkan kekurangan bukti berkaitan kes penipuan keluarga itu namun mengambil inisiatif dengan mengingatkan antara jemaah masjid berdekatan.

“Tak ada buat laporan polis waktu itu, lepas kita tahu kegiatan mereka kita cuma bagitahu dan ingatkan orang ramai yang mereka pernah datang ke masjid kita.

“Nak buat laporan polis pun waktu itu kita tiada rekod atau gambar untuk dijadikan bukti dan sebagainya, namun masjid lain saya tak pasti, mungkin ada yang buat laporan polis,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*