Anggun Tayang Suami Keempat, Kongsi Kisah Selepas Asia Got Talent

Siapa yang tak kenal dengan penyanyi cantik Indonesia, Anggun yang menjadi salah seorang juri pencarian bakat Asia’s Got Talent.

Anggun atau nama sebenar Anggun Cipta Sasmi, 43, berjaya mencipta namanya bukan sahaja di Indonesia malah berjaya sehingga ke peringkat antarabangsa.

Justeru tidak hairanlah apabila ramai yang ingin menjadi seperti Anggun, cantik dan berjaya serta dilabel salah seorang penyanyi terbaik di Indonesia oleh kerana mempunyai vokal yang mantap

Anggun juga mendapat gelaran wanita Indonesia yang natural beauty kerana sering mengenakan solekan yang minimalis. Tanpa solekan sarat,terpancar kejelitaan semula jadi Anggun.

Mungkin tuah menyebelahinya dari segi karier, tetapi wanita kelahiran Indonesia, Jakarta ini kurang bernasib baik dalam kehidupan berumah tangga.

SELEPAS beberapa episod kegagalan rumah tangga, Anggun menjadi lebih selektif untuk berkongsi cerita peribadinya.

Namun, baru-baru ini penyanyi lagu Snow On The Sahara itu sering berkongsi foto seorang jejaka berketurunan Inggeris yang dipercayai merupakan suaminya yang keempat bernama Christian Kretschmar, 43.

Lelaki itu bekerja sebagai seorang jurugambar profesional yang sering membidik foto-foto Anggun terutama ketika konsert.

Menurut laporan dari Win Net News, Anggun mula mendedahkan suaminya itu pada Acara Diaspora 2017 bulan Julai lalu

Anggun telah berkahwin sebanyak tiga kali, suami pertamanya Michael Georgea yang juga pernah menjadi pengurusnya. Anggun berkahwin dengan Michael pada tahun 1992 dan akhirnya memutuskan untuk bercerai pada tahun 1999.

Kali kedua Anggun berkahwin bersama Oliver Maury jejaka dari Kanada pada tahun 2004 dan berpisah pada tahun 2006.

Seterusnya, perkahwinan ketiga Anggun adalah dengan penulis dari Perancis, Cyril Montana pada tahun 2010.

Menerusi hasil perkahwinan bersama Cyril Montana, Anggun dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Kirana Cipta Montana yang kini berusia 10 tahun.

Sayangnya sekali lagi perkahwinan itu tidak dapat bertahan lama, Anggun dan Cyril Montana dikatakan berpisah pada tahun 2014 apabila memuatnaik gambar bersama seorang jejaka bernama Edwardo.

Terbaru, Anggun dikhabarkan telah berkahwin lagi buat kali yang keempat dengan Christian Kretschmar, 43, seorang jurugambar profesional yang sering mengambil gambar-gambar Anggun terutamanya di konsert-konsert.

Pelantun lagu Berganti Hati itu dilihat sering berkongsi foto kemesraan bersama suami barunya ini di laman sosial.

Walaupun sering gagal dalam perkahwinan namun Anggun tetap terbuka untuk peminat mengetahui kehidupan peribadinya.

Bercerita tentang album terbaharunya berjudul 8 apabila menampilkan sebuah lagu duet bersama pelakon dan penyanyi tempatan, Fazura berjudul The Good Is Back.

Album kelapan Anggun yang memakan masa selama dua tahun untuk disiapkan itu baru dilancarkan pada 8 Disember lalu dengan memuatkan sebanyak 12 buah lagu seperti What We Remember, No Promises, Oceans, Thank You, Inhuman dan Alive.

Menceritakan tentang kerjasama tersebut, ia merupakan salah satu keistimewaan yang sering dititikberatkan oleh pelantun lagu Snow On The Sahara itu dalam setiap kelahiran album terbaharunya.

“Saya selalu memberi sesuatu yang istimewa untuk peminat. Apa lagi untuk di Malaysia yang kali terakhir saya datang ke sini ketika persembahan Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi Konsert Datuk Siti Nurhaliza & Friends.

“Mengenai kolaborasi dengan Fazura, sebelum ini saya hanya mengenalinya melalui internet dan ada menonton beberapa episod program Facing Up With Fazura. Dari situ, saya dapat rasakan sesuatu yang sangat menyentuh hati tentang dia,” ujarnya yang ditemui pada satu sesi temu bual bersama media di E-Studios Production, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambah wanita berusia 43 tahun itu lagi, ada banyak persamaan antara dirinya dengan Fazura yang membuatkan dia tertarik untuk menyelami peribadi wanita berkenaan dengan lebih dalam menerusi lagu saduran pop dan rock tersebut.

Kisah dan perjuangan hidup lebih kurang serupa termasuk sudah kehilangan bapa kerana meninggal dunia diterjemahkan dalam lagu tersebut yang disifatkan Anggun dan Fazura sebagai lambang memperkasakan wanita dalam mengubah sesuatu yang buruk kepada baik.

Perkasa wanita

“Saya juga kehilangan ayah pada waktu muda yang dilihat sebagai tempoh sangat sukar untuk anak kecil berhadapan dengan situasi berat seperti itu. Kami tidak pernah bersedia untuk menerima kehilangan itu.

“Namun kemudian, bagaimana kami bangkit membina kehidupan dan berada pada tahap sekarang adalah intipati kepada lagu ini. Saya juga kagum dengan keberanian Fazura sebagai penyanyi baharu yang menyahut cabaran dan keluar dari zon selesanya demi kerjasama ini,” kata Anggun.

Sementara itu, menurut Fazura, menyedari jurang kemampuan antara dirinya dengan Anggun yang sudah berpuluh tahun mempunyai pengalaman dalam industri membuatkan dia mahu mencabar diri melakukan anjakan paradigma dalam hidupnya.

“Semua orang tahu kredibiliti dan kemampuan vokal Anggun. Sejujurnya saya berasa sedikit gusar memandangkan masih baharu dalam bidang nyanyian.

“Bagaimanapun saya percaya, setiap yang kita dapat dalam hidup ini datangnya daripada Tuhan. Saya seorang yang yakin diri dan perasaan itu meyakinkan saya untuk menyahut cabaran ini yang akhirnya memberi motivasi bahawa diri boleh melakukannya,” ujarnya yang tidak menolak kemungkinan untuk mengembangkan bakat ke luar negara menerusi kerjasama itu.

Dalam pada itu, Anggun turut berbicara tentang peranannya selaku juri bagi program Asia’s Got Talent musim kedua yang melabuhkan tirainya pada 7 Disember lalu.

Senang bekerja kerana mudah mencipta keserasian bersama dua lagi juri iaitu David Foster dan Jay Park, Anggun berkata, musim kedua memberi lebih banyak warna kerana menerima penyertaan daripada peserta yang mempunyai kepelbagaian bakat.

“Ia sebuah program yang sangat bagus kerana kita dapat melihat pelbagai jenis bakat selain daripada menyanyi, menari dan berlakon.

“Walaupun ada momen yang bagus dan yang kurang bagus tetapi saya suka dengan kerjasama bersama juri yang lain. Keserasian itu tidak palsu sebab kami dapat merasainya sendiri lahir dari hati,” ujarnya yang baru mengadakan konsert jelajah di Perancis selama satu tahun setengah baru-baru ini.

Sementara itu, ditanya tentang keterbukaannya untuk menjalin kerjasama dengan penyanyi Malaysia yang lain, dengan pantas Anggun menyebut nama Yuna kerana mengagumi bakat dan personaliti wanita berusia 31 tahun tersebut.

“Saya sangat tertarik dengan keberaniannya yang mencabar diri keluar dari tanah air untuk mencapai cita-cita di tempat asing, sama seperti saya yang keluar dari Indonesia.

“Peribadi dan personaliti Yuna yang berbeza daripada orang lain membuatkan saya tertarik. Dia seorang wanita Muslim, bermain gitar dan moden.

“Itu sudah cukup membuktikan keistimewaan dirinya,” ujarnya menutup perbualan.

Sumber : Media Hiburan via mylabulabi.tech

Link: http://mylabulabi.tech/2017/12/anggun-tayang-suami-keempat-kongi-kisah-selepas-asia-got-talent/

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*